Laman blog merupakan suatu aplikasi internet paling mudah untuk menyebarkan apa jua maklumat kepada orang ramai. Apa saja maklumat yang ingin dikongsi dapat disebarkan dalam masa hanya beberapa minit.

Jadi, kami di UNICOMMSERV ingin menggunakan sepenuh kesempatan ini untuk memanfaatkan teknologi sedia ada (readily available) dalam menjalankan aktiviti kami. Laman blog ini akan digunakan untuk menempatkan segala maklumat tentang aktiviti yang akan kami jalankan sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak. Ini termasuklah segala aktiviti promosi, kutipan derma, dan pengagihan derma yang kami jalankan. Insyaallah segalanya akan kami bentangkan disini.

Selain membekalkan informasi kepada semua, laman ini turut akan berfungsi untuk meningkatkan lagi integriti kami sebagai pengurus derma yang akan kami kutip dari orang ramai.


Alhamdulillah... Dengan izin Allah S.W.T. maka terbinalah laman blog ini. Laman ini dibina bersempena dengan perlaksanaan sebuah program baru iaitu Kempen Sedekah Ramadhan (SEDAR). Kempen ini bertemakan "Seorang Sekampit Beras" dan ia memberi penekanan terhadap membantu golongan yang memerlukan disaat menghadapi kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Beras dipilih sebagai tema kerana kita sebagai masyarakat Malaysia, mengutamakan beras ataupun nasi sebagai makanan ruji paling utama. Ia melambangkan bagaimana perlunya kita terhadap beras sebagai sumber makanan, begitulah perlunya golongan yang kurang bernasib baik terhadap derma yang akan kita berikan.


Memandangkan kita akan memberi tumpuan kepada golongan kurang bernasib baik dalam mengharungi bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, maka program ini akan bermula insyaallah seawal 9 Rejab dan akan berakhir pada 19 Ramadhan (11 Ogos - 19 september). Ini adalah kerana kami akan mengedarkan segala derma yang kami terima kepada para penerima menjelang Hari Raya Eid-ul-Fitr.


Insyaallah, marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik agar bersama-sama kita dapat mengharungi bulan Ramadhan dengan penuh barakah.